Monday, April 6, 2009

BERAKHIRNYA SATU TUGAS, BERMULANYA SEBUAH PERJUANGAN

Dipetik dari blog FERIZ OMAR

Tanggal 3 April 2009 merupakan tarikh penyerahan pentadbiran negara kepada barisan kepimpinan UMNO yang diketuai oleh Datuk Seri Najib-Tan Sri Muhyiddin. Ia perlu dirakamkan sebagai tarikh perubahan zaman gelap kepada zaman kekuatan luar jangkauan Melayu dan Islam.

Upacara tersebut jatuh pada Jumaat, hari yang mulia buat umat Islam. Saya begitu sebak kerana peristiwa bersejarah itu ditakdirkan Allah SWT jatuh pada tarikh ulangtahun saya ke-38. Ternyata ia adalah hadiah teristimewa buat saya, ProWaris, sahabat-sahabat NGO Melayu serta para bloggers yang berjuang sekian lama tatkala UMNO berada dalam serba ’keterbatasan’ untuk bertindak sebagai barisan pertahanan pertama bangsa Melayu dan Islam.

ProWaris seawal penubuhannya pada 2001 lagi sentiasa memenuhi saf pertama dalam memastikan Agenda Melayu dan Islam terbela, tercapai dan terus terpelihara. Bagi kami, hak perjuangan Agenda Melayu adalah bukan 100% hak mutlak UMNO; perjuangan Agenda Islam adalah bukan 100% hak mutlak PAS; dan perjuangan menuntut keadilan adalah bukan hak mutlak Parti Keadilan Rakyat.

ProWaris mula lantang pada 2003 agar profesional Melayu tidak ’terkebelakang’ dalam mengharungi cabaran globalisasi dan bertindak sebagai katalis ekonomi negara. Pada 2004, ProWaris mencadangkan pengstrukturan semula operasi dan kewangan Malaysian Airlines System (MAS) kerana MAS pernah diiktiraf sebagai syarikat penerbangan terbaik dunia dengan majoriti pekerja dan pemegang sahamnya adalah Melayu. Tahun 2006, seluruh Malaysia dikejutkan apabila ProWaris membangkitkan isu keretakan jambatan MRR2; risiko nyawa dan kemungkinan berlakunya penyelewengan - sehinggakan MRR2 ditutup untuk pembaikan dan penyiasatan.

Pada 2007, Profesional Melayu berpadu tenaga menghasilkan 20 Tuntutan ProWaris-Mapan terhadap Iskandar Malaysia melalui Buku Merah-Hitam demi mempertahankan hak Bangsa Melayu, kesucian agama Islam, kedaulatan negara serta Institusi DiRaja Malaysia. Sekalipun telah dipersembahkan berkali-kali dengan penuh berhemah, usaha kami tidak dilayan oleh pucuk pimpinan negara. Sejak saat itu, kami berpendapat kepincangan pentadbiran negara sudah mencapai tahap kritikal sehingga diterjemahkan rakyat dalam PRU12 dengan kekalahan paling dahsyat BN-UMNO dalam sejarah 51 tahun merdeka; senario yang telah dijangka awal oleh ProWaris melalui kajian ’protes rakyat’ sebelum pilihanraya.

Teras gerak-kerja ProWaris terhadap isu-isu ini sentiasa terpasak atas integriti roh Melayu profesional dan Islam yang kukuh. Kukuh kerana berjuang menurut fakta; Fakta yang begitu padat; Padat dengan analisis, akta perundangan dan statistik terperinci; Terperinci namun dipermudahkan melalui hujah yang jelas lagi efektif. Faktor inilah yang menarik ramai teman seperjuangan lain yang mahukan perubahan sekali gus tidak terus alpa dengan kelemahan pemimpin. Di sinilah bermulanya gerakan akar umbi melalui revolusi NGO-NGO Melayu.

ProWaris pernah diiktiraf PAS sebagai ’pasukan elit Islam’ yang profesional lagi berani, manakala sebilangan besar Melayu lain pula mengaitkan ProWaris sama seperti perkumpulan ’Selendang Merah’ yang bangkit di zaman 13 Mei 1969. Tidak ramai tahu bahawa ProWaris pernah dikecam hebat seolah mencari publisiti murahan, pernah diugut oleh mereka yang bencikan perubahan, laman web rasmi juga pernah digodam dan pernah dikejar sehingga ke Mersing sewaktu menuntut peralihan kuasa disegerakan. Pengalaman yang paling memalukan adalah apabila saya sendiri dihalau keluar dari studio TV sewaktu bersiaran langsung dalam program ulasan PRU12. Namun, inilah adat berjuang bak kata pepatah, kita perlu ’tegak pada yang datar, berpegang pada yang benar’.

INI SUARA MUDA MEWAKILI 70% PENGUNDI MALAYSIA !

Sebagai sebuah NGO yang memantau kedudukan UMNO-BN dari luar, kami yakin Najib-Muhyiddin tidak akan persiakan jerih-perih, ratapan-tangisan, perahan minda, doa-zikir, waktu dan wang yang rakyat korbankan supaya transformasi politik ini berlaku. Memandangkan kita hanya mempunyai masa singkat, Najib-Muhyiddin perlu menggunakan kuasa seefektif mungkin agar momentum terbina hingga tercapainya kejayaan pada PRU13 kelak.

Antara perkara perlu dilaksanakan adalah:-

* Merealisasikan segera janji struktur ’Rakyat-Parti-Kerajaan’;

* Pilih menteri kabinet di kalangan individu yang mempunyai roh Islam murni,
bijaksana, tidak dibenci rakyat, bersih rasuah serta berintegriti tinggi biarpun
tidak begitu popular;

* Selesaikan isu sebilangan pemuda UMNO yang menafikan ucapan Presiden dalam
Mesyuarat Agong 2009;

* Buru dan perkenalkan dari sekarang ikon-ikon pemimpin muda yang boleh mewakili
rakyat bawah 40 tahun (70% suara pengundi Malaysia);

* Pergunakan kekuatan NGO dan bloggers yang membantu proses transformasi politik
agar mereka turut sama memulihkan kecelaruan politik dan ekonomi negara bagi
mengelakkan kesan 'boomerang' jika mereka diabaikan; dan

* Pastikan pembentukan roh dan jati diri Islam di kalangan ahli UMNO secara
berterusan.

Penyerahan pentadbiran kepada Najib-Muhyiddin adalah bukti berakhirnya satu lagi tugas ProWaris. Sekalipun demikian, bagi kami ia juga adalah titik permulaan sebuah perjuangan Agenda Melayu dan Islam supaya ia ’tidak terdaya dicabar’ oleh sesiapa pun selepas ini !

FERIZ OMAR adalah Presiden Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (ProWaris)

Monday, March 30, 2009

Cadangan Dr Mohd Asri Tentang Pembentukan Kabinet Baru

Darai http://drmaza.com/home/?p=577

Disiarkan pada Mar 30, 2009 dalam kategori Kenyataan & Penjelasan

Saya mencadangkan agar pihak yang akan membentuk kabinet baru bagi pentadbiran negara mengambil kira secara bersungguh-sungguh tentang amanah yang dipikul dan menilai keperluan semasa politik negara. Bertitik tolak dari perintah Allah dalam Surah al-Nisa ayat 58: (maksudnya) “sesungguhnya Allah memerintahkan kamu menunaikan amanah kepada yang berhak” maka saya mencadangkan beberapa perkara;

1. Anggota kabinet yang hendak dibentuk hendaklah benar-benar dipastikan bersih dari segala unsur yang boleh merosakkan negara. Mereka yang mempunyai rekod buruk, atau telah meleburkan kepercayaan rakyat hendaklah dipinggirkan. Jika tidak, perlantikan tersebut adalah pengkhianatan.

2. Anggota kabinet yang hendak diberikan amanah kepimpinan hendaklah benar-benar atas asas kemampuan dan kecekapan dalam bidang yang diamanahkan. Dengan itu, seseorang sekalipun anggota kuat parti yang memerintah, atau ahli Majlis Tertinggi tidak boleh dilantik jika tidak mempunyai kewibawaan dan kecekapan.

3. Saya mencadangkan perlantikan anggota kabinet merentasi sempadan parti pemerintahan. Dalam ertikata lain, tokoh professional atau ahli politik parti pembangkang, atau bebas terutama jika mereka anggota parlimen yang berwibawa dan mahir dilantik dalam kabinet yang hendak dibentuk. Ini tidak semesti menunggu kerajaan campuran, sebaliknya dilantik sesiapa sahaja anggota pembangkang yang berpotensi menunaikan amanah dengan cemerlang. Jika ini berlaku menunjukkan kesungguhan kerajaan menjaga perpaduan dan membangunkan negara bukan sekadar menjadi kepentingan parti semata. Dengan perlantikan seperti itu, ketelusan, kewibawaan dan kepercayaan rakyat terhadap kabinet negara akan ditingkatkan. Hendaklah kerajaan sedar, peranan para menteri bukan untuk kepentingan yang terbatas bagi sesebuah parti politik sahaja, sebaliknya, ia adalah demi kepentingan rakyat awam yang merentasi sempadan kepartian dan puak. Negara mesti bergerak ke arah politik yang lebih matang.

Sekian, saya mencadangkan,
Dr. Mohd Asri Zainul Abidin,
30/3/09, Dubai.

Friday, March 13, 2009

PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN SAINS DAN MATEMATIK DALAM BAHASA INGGERIS (PPSMI)

By Dr. Mahathir Mohamad on March 13, 2009 6:48 PM

1. Saya berasa amat sedih apabila membaca laporan berkenaan demonstrasi yang dipimpin oleh tokoh sastera Melayu menentang pengajaran Sains dan matematik dalam bahasa Inggeris.

2. Kononnya ini akan menidakkan kebolehan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam ilmu ini. Konon ia akan mengurangkan perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

3. Kita harus ingat bahawa pelajaran bukan semata-mata untuk memaju atau mengembangkan bahasa. Pelajaran adalah untuk penguasaan ilmu, pelbagai jenis ilmu.

4. Yang boleh meningkatkan taraf dan kemajuan bahasa ialah matapelajaran bahasa itu sendiri dan diperingkat yang lebih tinggi mata pelajaran sastera.

5. Sains dan Matematik tidak mungkin menolong kemajuan bahasa, khususnya bahasa melayu.

6. Ini disebabkan bahasa sains dan matematik bukan daripada bahasa Melayu. Sebahagian besar daripada perkataan-perkataan dalam mata pelajaran ini adalah dalam bahasa Latin yang di-Inggeriskan.

7. Memang benar kita boleh Melayu-kan perkataan-perkataan ini, seperti juga kita Melayu-kan perkataan daripada lain-lain bahasa.

8. Memang boleh tetapi perkataan-prkataan Sains bukan satu dua tapi beratus-ratus. Dan perkataan ini menjadi asas kepada perkataan yang mempunyai makna yang amat berlainan.

9. Umpamanya perkataan Oxygen (Oksigen) - satu jenis gas. Derivative (cabang) daripada perkataan ini adalah seperti berikut;

Oxygenation
• Oxidation
• Oxide
• Oxidants
• Deoxydation
• Oxidise
• Oxidification
• Dioxide
• Monoxide
• Peroxide


10. Ini hanya bagi satu elemen daripada sebanyak 120 (118) elemen.

11. Tiap satu mempunyai banyak derivative. Tetapi ada perkataan-perkataan lain yang hanya untuk ilmu sains. Jika semuanya nak di-Melayukan, bahasa Melayu akan bertukar menjadi bahasa Inggeris, ejaan lain bunyi semacam. Sebenarnya ia bukan bahasa Melayu lagi.

12. Ilmu sains dan matematik bukan ilmu yang statik. Ilimu-ilmu ini berkembang sepanjang masa. Tiap hari ada hasil kaji selidik, penerokaan, ciptaan dan perluasan yang diperkenal melalui ratusan kertas-kertas yang ditulis.

13. Hampir semua ditulis dalam bahasa Inggeris. Untuk menterjemah tulisan ini kita perlu orang yang fasih dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dan faham ilmu yang hendak diterjemah.

14. Kita ada beberapa kerat sahaja orang yang berkebolehan seperti ini. Itupun dalam dua tiga bidang sahaja. Orang yang layak seperti ini tidak berminat menjadi penterjemah seumur hidup. Apabila sains dan matematik diajar dalam bahasa Melayu, orang seperti ini tidak akan ada lagi. Bagaimanakah kita hendak ikuti perkembangan ilmu sains.

15. Sebaliknya kertas ilmiah akan terus dikeluarkan beratus-ratus lagi, semuanya dalam bahasa Inggeris atau bahasa-bahasa lain. Maka tanpa kebolehan menterjemah semua ilmu baru ini akan tertinggallah orang Melayu dalam bidang ilmu yang amat oenting di zaman ini.

16. Kalau kita masih tidak dapat menerima kenyataan di atas, kaji sahaja jumlah Phd dalam bidang sains yang hanya belajar sains dalam bahasa Melayu dan tidak faham bahasa Inggeris. Berapa ramaikah dari pakar dalam bidang perubatan yang hanya belajar dalam bahasa Melayu, tanpa buku dalam bahasa Inggeris sebagai buku teks.

17. Apakah penuntut luar bandar tidak dapat menguasai bahasa Inggeris?

18. Sekali lagi perhitungan perlu dibuat berkenaan jumlah mereka yang dari kampung yang memegang jawatan tinggi dalam Kerajaan dan swasta kerana lulus dalam bahasa Inggeris dan mampu berhujah dalam bahasa berkenaan. Yang menentang PPSMI pun dari kampung juga tetapi dapat kelulusan bahasa Inggeris. Bahkan mereka sering berbahasa Inggeris.

19. Duta dan diplomat kita, berapa ramaikah yang hanya boleh bertutur kata dalam bahasa Melayu yang memegang jawatan penting dalam Kementerian Luar?

20. Pakar sains dan perubatan dan juga pegawai tinggi Kerajaan sering dikehendaki mengambil bahagian dalam persidangan antarabangsa. Apakah mereka dapat berhujah dan mengambil bahagian secara berkesan dengan menggun hanya bahasa Melayu?

21. Saya bukan hendak memandang rendah bahasa bangsa saya sendiri. Tetapi saya perlu terima hakikat yang sebenar.

22. Bahasa sesuatu bangsa akan dipelajari oleh orang asing jika bangsa itu amat maju dan terkenal dengan ilmu yang dimiliki dan diterokai olehnya. Demikian sebelum abad ke-15 Masihi orang Eropah terpaksa belajar bahasa Arab kerana tamadun Islam pada masa itu gah dan amat dinormati. Tetapi selepas orang Islam ketepikan sains, ilmu perubatan dan hisab, orang Eropah tidak lago mempelajari bahasa Arab. Sebaliknya orang Arab dan Islam terpaksa belajar bahasa Eropah.

23. Jika kita ingin bahasa Melayu digunakan dengan meluas kita perlu majukan diri kita dalam semua bidang terutama bidang ilmu dahulu. Sebelum daripada itu minat untuk belajar bahasa Melayuu akan terhad kepada sekumpulan kecil sahaja.

24. Kita belajar sains dan matematik untuk memajukan bangsa kita supaya satu hari mungkin kita akan terkenal berkenaan dengan penerokaan dan kajiselidik oleh kita dan orang lain akan belajar bahasa kita untuk mendapat ilmu yang diteroka oleh kita.

25. Penguasaan ilmu amat penting bagi masa depan seseorang. Janganlah kita perjudikan masa depan anak orang kerana kononnya kita seorang nasionalis yang begitu sayang kepada bahasa kita. Sayang bahasa tidak boleh melebihi sayang bangsa. Mereka yang sayang bangsa mereka ingin lihat bangsa mereka maju, berilmu dan dihormati dunia. Hanya kerana boleh bertuturkata dalam bahasa sendiri tidak akan menjadikan bangsa kita dihormati dan disegani orang.

26. Akan rosaklah bangsa dan negara jika dasar negara ditentukan oleh orang yang berdemonstrasi. Lebih rosak lagi jika yang berdemonstrasi didalangi oleh politik pembangkang.

Wednesday, March 11, 2009

JANGAN BIARKAN ORANG LAIN BERDOSA KERANA KITA

Dari Blog Ustaz YUSOF EMBONG

Wednesday, March 11, 2009
JANGAN BIARKAN ORANG LAIN BERDOSA KERANA KITA....jauhi buruk sangka(su'udzon)
Sahabat-sahabat yang dikasihi sekalian.

Syukur yang tidak terhingga kepada ALLah yang telah mengurniakan pelbagai nikmat kepada kita. Termasuklah nikmat anggota badan seperti mata dan tangan. Tangan boleh menulis atur huruf-huruf menjadi kalimah, kalimah yang akan dipersoalkan kesohihahan dan kejujurannnya. Jadi, tulislah yang baik-baik. Tak payah nak berpuak-puak, membina kem sendiri. Tak payah nak berpolitiking, ALlah tahu segala-galanya dalam gerak dan hati manusia. Jangan dibiarkan amal-amal kita rosak......jagalah hati. Jangan buruk sangka.

Mari kita lihat tulisan Abu 'Ashim Hisyam bin Abdul Qadir Uqdah dalam bukunya Virus-Virus Ukhuwah khususnya mengenai "sangka buruk - prasangka".

Seperti halnya menyebarkan rahsia, mempunyai prasangka bahawa sahabatmu
menyembunyikan sesuatu darimu juga dapat menyakitinya. Apalagi jika anda sudah membangun sikap-sikap tertentu berdasarkan prasangka tersebut. Selain boleh menyakitinya, hal ini juga betul-betul akan menyakiti dirimu sendiri, kerana prasangka buruk dapat merosakkan ketulusan perasaan hatimu terhadapnya.

Oleh kerananya, sangat wajar jika di antara faktor-faktor yang dapat mempertahankan atau menambah keharmonian hubungan ukhuwah antara sesama Muslim adalah ketulusan hati dan prasangka baik (husnuzhzhan). Dengan alasan tersebut Allah dan Rasul-Nya melarang kita berburuk sangka (su'udzdzan) dan mengikutinya. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:
"Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa" (al-Hujurat [491: 12).
Di dalam ayat lain Allah mencela orang kafir kerana kebiasaannya mengikuti prasangka yang tidak berdasarkan ilmu (argumentasi) dalam ucapan-ucapannya. Allah Sabhanahu wa Ta'ala berfirman:

"Dan mereka tidak mempunyai suatu pengetahuan pun tentang itu. Mereka tidak lain hanyalah mengikuti prasangka" (an-Najm [53]: 28).

Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda:
“Hindarilah prasangka (buruk), kerana prasangka (buruk) adalah ucapan yang paling dusta.”

Anda harus selalu berprasangka baik terhadap saudaramu. Orang yang selalu curiga terhadap semua masalah akan mendapatkan dirinya sangat jauh dari nasihat.
Umar bin Khattab: "Janganlah berprasangka terhadap setiap ucapan yang keluar dari lisan saudaramu kecuali dengan prasangka yang baik, selama kamu masih mendapatkan celah kebaikan dalam ucapannya itu".

Anda sama sekali tidak dituntut untuk mengetahui niat buruk dalam tindak-tanduk seorang sahabat, dan yang harus anda lakukan adalah mencari celah untuk menempatkan perbuatan saudaramu sebagai sesuatu yang baik.

Namun sayang, kita sering terjebak untuk berusaha mengumpulkan data-data yang boleh memperkuat dugaan, bukan mencari indikasi-indikasi baik yang dapat menghilangkan dugaan tersebut. Perbuatan ini sering menjadi penyebab malapetaka hancurnya ukhuwwah yang selama ini terbangun.
Berpadalah jika masing-masing di antara kita cenderung melihat niat baik sahabat dalam setiap perbuatannya dan berusaha menafikan prasangka buruk darinya, nescaya ukhuwah dan cinta akan kekal dan tetap bersemi.

Ibnul-Mubarak berkata: "Orang Mukmin selalu mencari alasan agar boleh memaafkan, sementara orang munafik selalu mencari-cari kesalahan."

Tidak diragukan lagi, bahawa menghindari prasangka buruk terhadap orang baik dan menjauhi segala faktor penyebabnya merupakan ciri orang yang beriman dan taat kepada ajaran agama.

Ketahuilah bahawa prasangka buruk dapat mendorong kepada perbuatan tajas iaitu mencari-selidik 'kesalahan' sahabatnya sendiri.

Ya ALlah Ya TUhan ku! Selamatkan diri ku dan sahabat-sahabat ku daripada penyakit hati seperti takabbur, riya', 'ujub, hubb al-Mal, hubb ad-dunya dan su'udzon(buruk sangka). tk..

Monday, March 9, 2009

Hishamuddin Menghukum Dengan Sebelah Mata


M.S.O - Monday, March 9, 2009

KATA Hishamuddin bin Hussein bin Onn bin Jaaffar, himpunan membantah PPSMI Sabtu lalu didalangi oleh pembangkang. Alasannya mudah sahaja sebab beliau ada nampak pemimpin pembangkang menyertai himpunan berkenaan.

Hukuman Hishamuddin itu terlalu mudah dan seolah-olah dibuat oleh mereka yang berfikir secara kebudak-budakan atau hukum sebelah mata. Tuduhan Hishamuddin itu bersifat politik untuk menuduh Pas supata rakyat bencikan Pas.

Dengan tuduhan itu juga beliau membayangkan kebijaksanaan dan pandangan jauh beliau selama ini di mana apa yang disangkakan itu benar. Bahawa dalang di sebalik anti PPSMI itu ialah pembangkang, khususnya Pas.

Mungkin Hishamuddin tidak membaca pun memorandum yang serahkan oleh Dr Hassan Ahmad dan rombongan GMP kepada beliau dan beberapa menteri dan ahli Parlimen lain di parlimen tidak lama dulu. Kalau ketua Pemuda itu membaca dan memahami intipati memorandum itu beliau tidak akan membuat tuduhan murah begitu.

LAGI>>>